PROGRAM KEMBARA MERDEKA BERBASIKAL
Program Kembara Merdeka Berbasikal SK Pengkalan Baharu telah dapat dijalankan dengan jayanya pada tanggal 27 Ogos 2008. Program kembara tersebut telah disertai lebih kurang 150 orang pelajar yang terdiri daripada pelajar-pelajar tahap 2. Program tersebut telah bermula pada pukul 8.00 pagi di mana pelajar-pelajar yang terlibat dengan kembara telah berkumpul di Dataran Ilmu berserta dengan basikal-basikal yang telah dihias dengan cantik mengikut kreativiti masing-masing. Pada hari ini juga diadakan pertandingan basikal merdeka ceria yang mana hanya sepuluh peserta sahaja yang memenangi pertandingan tersebut.
Program kembara telah diserikan lagi dengan kehadiran Ketua Balai Polis Pantai Remis yang mana beliau sendiri telah merasmikan program tersebut dan seterusnya melepaskan peserta-peserta kembara. Sesi kembara telah mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk PIBG, Pasukan RELA, pihak polis dan ketua-ketua kampung. Peserta-peserta kembara berhenti rehat di Kampung Matang Acheh sebelum meneruskan perjalanan ke Surau Al-Falah, Batu Hampar. Program kembara tersebut telah berakhir pada pukul 12.00 tengahari di perkarangan Sekolah Kebangsaan Pengkalan Baharu. Peserta-peserta telah dijamu dengan makanan dan minuman sebaik tiba di perkarangan sekolah.
Pada hari yang sama terdapat pertandingan mewarna jalur gemilang bagi pelajar-pelajar tahap 1 dan pelajar yang tidak mengikuti kembara tersebut. Pertandingan tersebut terbahagi kepada 4 kategori iaitu Pendidikan Khas, Pra Sekolah,Tahap 1 (Tahun 1,2 dan 3) dan Tahap 2 (tahun 4,5 dan 6). Hanya terdapat 3 pemenang sahaja mengikut kategori masing-masing. Pertandingan tersebut diketuai oleh Puan Norlini bt Mohd Noor dan dibantu pula oleh beberapa orang guru tahap 1 yang lain.
0 comments
Post a Comment